Sunday, June 30, 2013

Thursday, June 27, 2013

Audi Q7 Jika Menang Piala FA Kepada 2 Pemain Terbaik JDT



DUA pemain terbaik pasukan Johor Darul Takzim (DT) pada musim ini akan menerima ganjaran berbentuk kereta utiliti sukan (SUV) Audi Q7.
 
Ini diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini.
 
Tunku Ismail berkata, ganjaran tersebut adalah tambahan kepada bonus lumayan yang akan diberikan kepada kedua-dua pasukan Johor sekiranya JDT memenangi Piala FA menentang Kelantan pada final, Sabtu ini.
 
"Semua inisiatif ini dilakukan sebagai menunjukkan penghargaan terhadap segala usaha dan komitmen yang ditunjukkan pasukan dan para pemain," katanya.
 
Mengulas mengenai perlawanan final di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, Tunku Ismail menyeru kedua-dua penyokong pasukan itu agar sentiasa menjaga disiplin dan tingkah laku mereka ketika di stadium.
 
"Saya berharap para penyokong yang datang di Stadium nanti patuh kepada arahan pegawai-pegawai keselamatan yang bertugas dan elakkan daripada mencetuskan sebarang kekecohan dan provokasi.
 
"Saya berharap juga penyokong dari kedua-dua pasukan menunjukkan semangat kesukanan dan persaudaraan," katanya.
 
Tunku Ismail juga memberitahu satu perjumpaan ramah mesra di antara penyokong JDT dan Kelantan akan diadakan di kawasan rehat Seremban, Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Bukit Jalil pada hari perlawanan.

Perang Psikologi Kelantan



JURULATIH Kelantan, Bojan Hodak mula melancarkan perang psikologi menjelang aksi final menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.
Secara terbuka, Hodak menganggap The Red Warriors lebih layak untuk diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai kempen Piala FA kali ini.
“Banyak artikel yang disiarkan oleh pihak media menyebut Johor DT adalah pasukan pilihan yang akan menjuarai Piala FA musim ini.
“Mungkin benar jika mereka melihat kepada status pemain yang dimiliki pasukan itu, tetapi saya mahu beritahu bahawa Kelantan juga memiliki ramai pemain yang hebat.
“Sebahagian besar pemain Kelantan yang ada ketika ini mempunyai pengalaman bermain di pentas sebegitu besar, sama ada final Piala FA atau Piala Malaysia.
“Bagaimanapun, saya fikir ini bukan aksi final yang mudah untuk orang ramai membuat jangkaan mengenai keputusannya,” kata Hodak ketika ditemui Kosmo! di Kota Bharu semalam.
Pada masa sama, Hodak tidak menafikan bahawa Johor DT memiliki barisan pemain yang hampir sempurna terutama jentera tengah dan serangan yang dilihat cukup berbahaya dan mampu memberikan masalah kepada benteng pertahanan Kelantan.
Namun, beliau berkata, skuad Harimau Selatan itu mungkin melakukan kesilapan besar jika menilai Kelantan melalui dua keputusan saingan Liga Super sebelum ini yang menyaksikan The Red Warriors hanya mampu seri di Kota Bharu dan tewas di Larkin, Johor.
“Jika anda lihat ketika kami tewas di Johor sebelum ini, kami bertahan dengan baik, cuma mereka (Johor DT) menjaringkan gol pertama dari luar kotak penalti yang kebetulan bola melantun sehingga mengelirukan Apek (Khairul Fahmi Che Mat).
“Gol kedua mereka juga lebih kepada nasib kerana ada pemain saya yang tertampan bola sebelum ia menerjah ke dalam gawang.
“Menjelang aksi final nanti, saya tidak fikir untuk memberikan tugas khusus kepada pemain pertahanan untuk menjaga mana-mana pemain lawan.
“Bagi saya, kami sudah bersedia, pertahanan kami cukup baik dan kali ini kami tampil dengan jentera serangan yang berbeza berbanding ketika kami tewas kepada Johor DT tempoh hari.
“Kehadiran semula Dickson (Nwakaeme), Norfarhan (Mohamad), Faiz (Subri) selain percaturan yang lebih segar, pasti memberi memberi lebih kekuatan kepada kami nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hodak mampu menarik nafas lega apabila kesemua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan.
“Saya perlu memilih pemain yang betul-betul fokus, mempunyai pengalaman dan paling penting pemain yang mempunyai lebih kualiti,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Meninggal Dunia





KUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam akibat kanser paru-paru.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman berkata, A. Rahman, 55, dimasukkan ke HSNZ pada Khamis lepas dan ADUN berkenaan tidak sedarkan diri sepanjang dirawat di hospital tersebut, namun keadaannya stabil sejak beberapa hari lalu.
"Arwah yang diberi bantuan pernafasan sepanjang dirawat, bagaimanapun mula tenat pagi tadi (semalam) sebelum meninggal dunia pada pukul 10.18 pagi," katanya.
Sementara itu, balu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri itu, Azizah Nik Omar, 53, memberitahu, suaminya banyak merahsiakan keadaan kesihatannya daripada keluarga.
Katanya, A. Rahman hanya memberitahu yang dia mengalami masalah paru-paru sejak enam bulan lalu tetapi tidak menyatakan secara jelas mengenai penyakit tersebut.
"Arwah juga sudah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mac lalu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2XQOpYdED 

Perut Pelajar Berlubang Tertusuk Besi


KUCHING - Nyawa seorang pelajar berusia 18 tahun ternyata masih panjang apabila dia masih mampu bercakap dalam keadaan perutnya berlubang akibat tertusuk besi penghadang jalan dalam kemalangan di Jalan Sejingkat di sini semalam.
Kejadian pukul 12 tengah hari itu berlaku apabila motosikal yang ditunggangnya gagal dikawal sebelum terperosok di bawah besi penghadang jalan berkenaan.
Menurut sumber, pelajar kolej komuniti yang berasal dari Kelantan itu dikatakan dalam perjalanan dari rumah sewanya di Kampung Bako ke Jalan Matang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz2XQNfUDsQ 

Wednesday, June 5, 2013