Wednesday, January 9, 2013

Tarian Lucah Majlis Polis



SHAH ALAM – Majlis tertutup untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota polis berpangkat rendah daerah ini yang akan bertukar dicemari insiden memalukan apabila tiga lelaki yang memakai pakaian dalam wanita melakukan aksi tarian separuh bogel Jumaat lalu.
Kejadian itu mengejutkan warga polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam kerana difahamkan persembahan yang sepatutnya diadakan di sebuah hotel terkemuka di Selangor itu berbentuk tarian tradisional.

Bertemakan Majlis Malam Mesra, Sekalung Budi, Segunung Intan, majlis itu hanya dihadiri oleh anggota dan pegawai polis Shah Alam dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah itu sebagai orang kenamaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, insiden itu telah mencetuskan kontroversi apabila gambar memalukan itu tersebar di laman sosial Facebook dan blog sehingga mendapat kritikan pelbagai pihak.
Katanya, siasatan mendapati, tarian separuh bogel itu bukan sahaja langsung tidak termasuk dalam aturcara majlis malah, ia tidak ditempah dan tidak diadakan ketika sesi raptai serta latihan.
“Tarian itu dipersembahkan secara tiba-tiba dan penari terbabit pula merupakan golongan lelaki yang memakai pakaian dalam wanita. Ia berlaku secara mengejut dan spontan tanpa izin penganjur.
“Kita sedang menyiasat mengapa dan bagaimana ia boleh berlaku dan siapa yang bertanggungjawab. Penganjur telah membuat aduan kepada pihak pengurusan hotel pada malam itu juga dan saya sedang membuat pertanyaan sulit mengenainya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, majlis tertutup itu diadakan untuk meraikan bakal pesara, pegawai dan anggota polis pangkat rendah daerah ini yang akan bertukar tempat bertugas.
Menurut Zahedi, Polis Diraja Malaysia selama ini tidak pernah menganjurkan acara tidak bermoral seperti itu yang nyata bertentangan dengan agama Islam dan budaya pasukan keselamatan itu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, gambar tersebut jelas memaparkan imej tiga individu memakai rambut panjang, seluar dalam dan coli sedang menari dalam aksi ghairah berlatarbelakangkan tulisan Majlis Malam Mesra, Sekalung Budi, Segunung Intan Polis Shah Alam.
Gambar tersebut menerima kecaman pelbagai pihak. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah melalui akaun Facebook peribadinya melahirkan rasa terkejut melihat gambar itu.
Tun Hisan menyatakan polis tidak sesekali menyokong kemungkaran sebegitu dan akan menyiasat kejadian berkenaan.


Kredit dan Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2HTvMZnik 
Hakcipta terpelihara 

0 comments: