Thursday, March 1, 2012

KEPUTUSAN STPM ' ONLINE ' RABU DEPAN



KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan.
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos. 
Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM Result No.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada pukul 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lepas 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian. -- BERNAMA

TOL CHERAS KAJANG HAPUS



KAJANG: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pemansuhan bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran tol 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang, berkuatkuasa tengah malam ini. 


Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan itu akan mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan Lebuh Raya Cheras-Kajang sebanyak 50 peratus, atau pengurangan bayaran tol daripada RM3.80 kepada RM1.90 untuk dua hala.
"Ini adalah usaha dan perjuangan kerajaan Barisan Nasional sejak 2009 lagi dan hari ini kerajaan jadikan kenyataan," katanya pada majlis pecah tanah projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Bandar Sungai Long di sini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan RM4.5 juta untuk membiayai sebahagian kos pembinaan sekolah berkenaan. 

Sekolah itu akan dibina di tanah seluas 2.4 hektar. Ia mempunyai 36 buah bilik darjah untuk kemudahan 1,500 murid di kawasan berkenaan.