Tuesday, December 25, 2012

Banjir Di Besut | Empangan Paya Peda Terpaksa Dipecahkan



KUALA TERENGGANU — Sebahagian benteng Empangan Paya Peda di Besut yang masih dalam pembinaan terpaksa dipecahkan semalam untuk melepaskan takungan air demi keselamatan penduduk kawasan sekitar.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata meskipun tindakan itu menyebabkan kawasan sekitarnya dilandar banjir, namun ia terpaksa dilakukan demi mengurangkan risiko tekanan pada kandungan air berlebihan di empangan.
Katanya, langkah itu dibuat untuk membolehkan air daripada empangan berkenaan dialir keluar secara terancang.
Berikutan tindakan memecahkan benteng empangan itu, banjir melanda daerah Besut dengan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan setakat ini, ke pusat pemindahan banjir.
"Empangan ini belum lagi siap dan kandungan air di dalamnya mungkin belum sampai tahap maksimum. Kita takut tekanan dan air melimpah dan sebagainya, sebab itu kita terpaksa buat (pecahkan) melibatkan perunding, kontraktor dan JPS (Jabatan Perparitan dan Saliran),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) ke-33 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Ahmad menasihati penduduk di daerah berkenaan agar berwaspada, bertenang dan sentiasa mengikuti arahan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berikutan pelepasan air daripada empangan itu.
Beliau berkata beberapa kawasan di daerah Besut sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh dan bukan disebabkan tindakan melepaskan air empangan sepertimana yang berlaku sekarang.
"Walaupun empangan ini siap setahun dua lagi, banjir tetap juga berlaku kerana Besut mempunyai kawasan rendah dan sawah padi. Cuma dengan adanya empangan, ia (banjir) diharap dapat dikurangkan,” katanya. — BERNAMA

2 comments:

Unknown said...

bnjir menjadi acara tahunan yg semakin ngeri dengan campur tangan manusia keatas kawasan tadahan hujan..kenyataan sya berdasarkan pengalaman 23 tinggal di hulu besut. xpernah menyesali takdir hanya perkongsian sebagai iktibar..

izz3.com said...

yup....tue mungkin slh satu faktor la. dulu dan skrg fizikal bumi makin lama makin berubah...