Thursday, October 25, 2012

Salam Aidiladha 2012



Setiap insan mendambakan kesenangan, kemewahan, kebahagian dan
sebagainya. Demi mengejar itu semua kita tidak dapat lari daripada melakukan
pengorbanan sama ada dalam bentuk fizikal, material, emosi mahupun yang
melibatkan spiritual. Oleh itu menjadi kewajipan semua pihak agar pengorbanan
yang dibuat mengikut lunas-lunas yang diredhaiNya supaya apa yang dilakukan
itu menguntungkan kita semasa hidup ataupun setelah meninggal dunia.

Semua 'tuntutan' hidup memerlukan 'pengorbanan' yang bukan sedikit. Andai
lemah Iman, maka akan mudah menjerumuskan diri ke dalam kemaksiatan dan
akhirnya akan ditempatkan di neraka jahanam! Apa yang paling menyedihkan,
terdapat segelintir mereka yang menjalankan kegiatan keagamaan terlibat
secara langsung dengan gejala salahguna kuasa, rasuah dan sebagainya.
Mereka ini adalah golongan yang paling berbahaya jika dibandingkan dengan
golongan yang secara terang-terangan melakukan maksiat akibat kejahilan
dalam agama. Mereka mengambil kesempatan atas nama agama untuk
kehendak duniawi.

Jika direnungkan kembali, apakah bentuk pengorbanan yang telah kita lakukan
demi menegakkan syiar Islam di bumi Allah ini? Antara contoh pengorbanan yang
telah dilakukan oleh orang terdahulu seperti Nabi Ibrahim (a.s) dan anaknya Nabi
Ismail (a.s), sepatutnya menjadi contoh dan Iktibar kepada kita umat Islam. Perlu
diterapkan dalam setiap hati Muslim untuk memahami Konsep Pengorbanan
yang sebenar agar diri kita sentiasa bersedia menghadapi ancaman musuhmusuh
Islam dan ancaman-ancaman lain yang lebih hebat di akhir zaman ini.

Memartabatkan Islam adalah tanggungjawab yang tidak terletak kepada
golongan tertentu sahaja. Oleh itu, marilah bersama-sama berusaha untuk
kejayaan Islam sebagai agama suci yang sentiasa menghadapi cabaran akibat
salah faham umatnya. Semoga pengorbanan kita di terima Allah dan kita
ditempatkan dikalangan orang-orang yang berjaya.

JOM MAIN MERCUN !!

0 comments: