Wednesday, October 10, 2012

Harga Tiket Final Piala Malaysia 2012 RM40



HARGA 
tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 pada 20 Oktober ini dikurangkan daripada RM50 menjadi RM40, kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin hari ini.

Jelasnya, perubahan tersebut dilakukan selepas perbincangan bersama Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM selepas mengambil kira situasi semasa.

"Sebenarnya perbincangan harga tiket final Piala Malaysia telah dilakukan ketika Mesyuarat Exco bilangan 4/2012 bagi sesi 2010-2014 pada 14 Februari lalu.

"Dan setelah mengambil kira pelbagai faktor, kami peka dengan kehendak penyokong terutama selepas harga tiket dinaikkan sebanyak RM50 tahun lalu," kata Hamidin ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Tambah Hamidin: "Oleh itu, FAM sebulat suara bersetuju untuk mengurangkan harga tiket kepada RM40 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak."

Tahun lalu, tiket semua tempat duduk bagi perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-85, yang berlangsung di Stadium Shah Alam, ditetapkan pada harga RM50.

Bagaimanapun ia mencetuskan rasa tidak senang di kalangan peminat bola sepak.

Ketika itu, Hamidin berkata, harga tiket itu dianggap wajar kerana FAM terpaksa menanggung beberapa kos termasuk bayaran kepada pihak stadium selain beberapa faktor lain.

Pada edisi terdahulu Piala Malaysia yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, FAM menjual tiket berharga RM30 untuk tempat duduk terbuka dan RM50 bagi tempat duduk utama.

0 comments: